Archive | October 2009

♣ Tolong Sampaikan Pada Si Dia


TOLONG SAMPAIKAN PADA SI DIA

بسم الله الرحمن الرحيم

Tolong beritahu si dia, aku ada pesanan buatnya;
Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cinta-Nya;
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa..

Tolong nasihati sia dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa;
Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa;
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibubapanya..

Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah Ta’ala kerana di situ ada syurga;
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibubapanya kerana di telapak itu syurga-Nya..

Tolong ingatkan si dia, aku terpikat kerana imannya bukan rupa;
Tolong ingatkan si dia, aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta;
Tolong ingatkan si dia, aku kasihinya kerana santunnya..

Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia;
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya;
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya..

Tolong sedarkan si dia, aku milik Yang Maha Esa;
Tolong sedarkan si dia, aku masih milik keluarga;
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..

Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana;
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta;
Tolong sabarkan si dia, bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya..

Tolong pesan padanya, aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya;
Tolong pesan padanya, aku tidak mahu menjadi punca kegagalannya;
Tolong pesan padanya, aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya..

Tolong khabarkan pada si dia, aku tidak mahu melekakan dia;
Tolong khabarkan pada si dia, aku mahu dia berjaya dalam impian & cita-citanya;
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku..

Tolong sampaikan pada si dia, aku mendambakan cinta suci yang terjaga;
Tolong sampaikan pada si dia, cinta kerana Allah Ta’ala tidak ternilai harganya;
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa..

Tolong sampaikan kepada si dia, kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri;
Hanya Engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia;
Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa & di mana si dia;
Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya & bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya;
Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti..

♣ Penantian Seorang Muslimah


بسم الله الرحمن الرحيم

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatku begitu berani mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah aku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa pun. Apalagi mencurahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati & cintaku, membuatku tersedar dari lenaku yang panjang.

Ibu telah mendidikku semenjak kecil agar menjaga maruah & mahkota diriku kerana Allah Ta’ala telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga & mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil-alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu. Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku dari lelaki manapun kerana aku tidak mahu membelakangimu.

Aku menghalang diriku dari mengenali lelaki manapun kerana aku tidak mahu mengenal lelaki lain selainmu, apalagi memahami mereka. Kerana itulah aku sekuat ‘kodrat yang lemah ini’ membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih suka berada di rumah kerana rumah itu tempat yang terbaik buat sorang perempuan. Aku sering merasa tidak selamat dari diperhatikan lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap kaummu, tetapi lebih baik aku berwaspada kerana contoh banyak di depan mata.

Aku palingkan wajahku dari lelaki yang asyik memperhatikan diriku atau cuba merayuku. Aku sedaya mungkin melarikan pandanganku dari lelaki ajnabi (asing) kerana Saidatina Aisyah (radhiallahu ‘anha) pernah berpesan,

“Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang & tidak dipandang oleh lelaki”

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku hanya bisa menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang bisa dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Bagaimana akan ku jawab di hadapan Allah Ta’ala kelak andai ditanya? Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi? Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki & menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh Allah Ta’ala. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah Ta’ala telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak kunafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyayangi & disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah Ta’ala telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati & perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi labuhan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulin.

Diriku yang memang lemah ini telah diuji oleh Allah Ta’ala saat seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa. Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini telah dirampas dariku. Aku bertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristigfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.

Kehadirannya membuatku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan seolah-olah wujud bersamaku. Di mana saja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang menggodaku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana.

Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar lelaki yang bakal dinobatkan sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tujuan yang satu.

Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf (‘alaihisallam), juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman (‘alaihisallam), atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad (shalallahu ‘alaihi wasallam) yang mampu mendebarkan hati juataan gadis untuk membuat aku terpikat.

Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah Ta’ala pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah Ta’ala. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dimubazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak mempunyai hak untuk begitu. Juga jangan melampaui batas yang telah Allah Ta’ala tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Illahi. Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah Ta’ala dengan kemenangan atau syahid itu. Akan ku keringkan darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.

Aku pasti berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku. Cukuplah kau mencintai Allah Ta’ala dengan sepenuh hatimu kerana dengan mencintai Allah Ta’ala, kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di Syurga.

Seorang gadis yang membiarkan dirinya dikerumuni, didekati, diakrabi oleh lelaki yang bukan mahramnya. Cukuplah dengan itu hilang harga dirinya di hadapan Allah Ta’ala.

“Peliharalah diri & jaga kesucian”

 

♣ Rezeki Haram & Rezeki Halal


REZEKI HARAM & REZEKI HALAL

بسم الله الرحمن الرحيم

Mencari rezeki memang digalakkan, apatah lagi untuk tujuan kebaikan & kebajikan keluarga serta masyarakat. Disebabkan itu juga, umat Islam dilarang meminta-minta jika ada kudrat untuk mengusahakan rezeki berkenaan. Kedudukan orang yang berusaha mencari rezeki dengan tangan sendiri malah diangkat kepada kedudukan mulia.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal & menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) & berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah Ta’ala dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam”

[HR. At-Tabrani]

Umat Islam juga diingatkan bahawa hanya rezeki halal yang mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan & ganjaran Allah Ta’ala. Rezeki daripada sumber haram seperti rasuah lambat laun akan menimbulkan kecelakaan & masalah dalam hidup, bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga.

Seorang sahabat, Hakim bin Hizam berkata, dia meminta sedekah daripada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam & baginda memberi kepadanya. Kali kedua dia meminta lagi & sekali lagi Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam memberi.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Harta itu lazat & manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus atau serakah), dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi sesiapa yang menerimanya dengan nafsu serakah dia tidak akan mendapat berkat dengan harta itu; dia seperti orang makan yang tidak pernah merasa kenyang & tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”

[HR. Muslim]

♣ Sakitnya Sakaratul Maut


بسم الله الرحمن الرحيم

Nabi Idris (‘alaihisallam), seorang ahli ibadah; kuat mengerjakan solat puluhan rakaat dalam sehari semalam & selalu berzikir di dalam kesibukannya sehari-hari.

Catatan amal Nabi Idris yang sedemikian banyak, setiap malam naik ke langit, sangat menarik perhatian Malaikat Izrail. Lalu ia bermohon kepada Allah Ta’ala agar diperkenankan mengunjungi Nabi Idris di dunia denga menjelma sebagai seorang lelaki tampan, bertamu ke rumah Nabi Idris.

Nabi Idris sama sekali tidak mengetahui bahawa lelaki yang bertamu ke rumahnya itu adalah Malaikat Izrail. Seperti tamu yang lain, Nabi Idris melayani Malaikat Izrail & ketika waktu berbuka puasa, Nabi Idris mengajaknya makan bersama, namun ditolak oleh Malaikat Izrail.

Selesai berbuka puasa, seperti biasa Nabi Idris mengkhususkan waktunya menghadap Allah Ta’ala sampai keesokan harinya. Semua itu tidak lepas dari perhatian Malaikat Izrail. Begitu juga ketika Nabi Idris berzikir ketika melakukan tugasnya sehari-harinya & hanya berbicara yang baik-baik saja. Keesokan hari, Nabi Idris mengajak tamunya itu berjalan-jalan di sebuah kebun buah-buahan yang sedang masak ranum.

“Izinkanlah saya memetik buah-buahan ini untuk kita”,
pinta Malaikat Izrail m’uji Nabi Idris.

“Subhanallah”,
kata Nabi Idris.

“Kenapa?”
Malaikat Izrail pura-pura terkejut.

“Buah-buahan ini bukan milik kita. Semalam anda menolak makanan yang halal, kini anda menginginkan makanan yang haram”,
kata Nabi Idris.

Malaikat Izrail tidak menjawab. Nabi Idris memerhatikan wajah tamunya yang tidak berasa bersalah. Dalam diam beliau mula terfikir siapakah tetamu yang tidak dikenali itu.

“Siapakah engkau sebenarnya?”,
tanya Nabi Idris.

“Aku Malaikat Izrail”,
jawab Malaikat Izrail.

Nabi Idris sangat terkejut, seketika tubuhnya menggeletar tidak berdaya.

“Apakah kedatanganmu untuk mencabut nyawaku?”
tanya Nabi Idris.

“Tidak, atas izin Allah, aku sekadar menziarahimu”,
jawab Malaikat Izrail.

Nabi Idris mengangguk & terdiam seketika.

“Aku ada satu permintaan”,
ujar Nabi Idris.

“Ku mohon engkau bersedia mencabut nyawaku sekarang. Lalu mintalah kepada Allah Ta’ala untuk menghidupkanku kembali, agar bertambah rasa takutku kepada-Nya & meningkatkan amal ibadahku”,
pinta Nabi Idris.

“Tanpa izin Allah, aku tidak dapat melakukannya”,
kata Malaikat Izrail.

Pada saat itu Allah Ta’ala memerintahkan Malaikat Izrail mengabulkan permintaan Nabi Idris. Dengan izin-Nya, Malaikat Izrail segera mencabut nyawa Nabi Idris.
Malaikat Izrail kemudian menangis memohon kepada Allah Ta’ala agar menghidupkan kembali Nabi Idris. Allah Ta’ala telah mengabulkan permohonannya.

Setelah Nabi Idris hidup kembali, Malaikat Izrail lalu bertanya bagaimanakah rasanya mati. Lalu Nabi Idris menjawab,
“Seribu kali lebih sakit daripada binatang hidup dikuliti”.

“Cara yang ku lakukan terhadapmu adalah cara yang lemah lembut”,
kata Malaikat Izrail pula.

♣ Seni Bina Islam


SENI BINA ISLAM

Seni bina Islam (bahasa Arab عمارة إسلامية, bahasa Parsi معماری اسلامی, bahasa Turki İslami mimari) telah ditonjolkan pada sepanjang sejarah Islam. Istilah ini merangkumi gaya seni bina keagamaan sebagai mana juga bangunan-bangunan sekular, dan bersejarah dan juga penyataan moden, pada pembinaan struktur yang telah datang di bawah berbagai taraf pengaruh oleh kebudayaan Islam.

Prinsip jenis-jenis gaya seni bina Islam adalah; Masjid, Kubur, Istana dan Kota. Dari empat jenis ini, gaya seni bina Islam dikembangkan dan digunakan untuk bangunan-bangunan yang kurang penting seperti tempat mandi awam, air pancut dan gaya seni bina tempatan [1].

SEJARAH

Pada tahun 630 M, tentera Islam menakluk kembali bandar Mekah dari kaum Quraisy. Perlindungan suci Kaabah telah dibina balik dan didedikasikan semula pada Islam, pembinaan semula ini telah dijalankan sebelum kewafatan Nabi Muhammad pada tahun 632 M oleh seorang tukang kayu kapal Habsyah dalam gaya aslinya. Tempat suci ini dapat digunakan sebagai contoh yang paling awal gaya seni bina Islam walaupun tidak sama seperti gaya seni bina Islam hari ini. Dinding Kaabah dihiasi dengan lukisan Nabi Isa, Siti Maryam, Nabi Ibrahim, nabi-nabi lain, malaikat dan pokok-pokok. Doktrin Islam kemudiannya, bermula dari abad kelapan dengan bersumberkan Hadith, melarangkan penggunaan ikon dalam gaya seni bina, terutamanya ikon manusia dan haiwan [1].

Pada abad ke-7, tentera Muslim memasuki and menakluki wilayah yang luas. Setelah kaum Muslim telah mengambil kuasa suatu daerah, keperluan pertama mereka adalah tempat beribadah – sebuah masjid. Susun atur sederhana merupakan unsur-unsur yang digabungkan dalam semua masjid, penganut Muslim awal membina bangunan sederhana berasaskan rumah Nabi atau mengadaptasikan bangunan-bangunan sedia ada, seperti gereja, untuk kegunaan mereka.

PENGARUH & GAYA

Gaya seni bina Islam yang dapat dikenali kini berkembang tidak lama selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., yang dikembangkan dari model Rom, Mesir, Parsi/Sassanid dan Byzantine. Contoh awal boleh dikenal pasti dengan siapnya Kubah Batu (Qubbat al-Sakhrah) di Baitulmuqaddis. Ia mempunyai ruang kekubah dalaman, kubah bulat, dan penggunaan pola hiasan diolah dalam gaya berulang (arabesque).

Masjid Agung Samarra di Iraq yang dsiap pada tahun 847 M, menggabungkan gaya seni bina hypostyle pada deretan tiang yang menyokong sebuah dasar datar yang di atasnya sebuah menara berpilin besar dibina.

Hagia Sophia di Istanbul juga telah mempengaruhi gaya seni bina Islam. Ketika tentera Turki Uthmaniyyah menangkap bandar itu dari Byzantine, mereka menukarkan gereja itu kepada sebuah masjid (sekarang sebuah muzium) dan memasukkan unsur seni bina Byzantine ke dalam karya mereka sendiri (contohnya kubah). Hagia Sophia juga telah berkhidmat sebagai model untuk beberapa buah masjid Turki Uthmaniyyah seperti Masjid Shehzade, Masjid Suleiman