Archive | April 2010

♣ Kesilapan Kerap Wanita Tentang Aurat


KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara penjelasan yang diberikan oleh ustaz, ana paparkan di bawah. Sama-samalah kita renungkan & ambil iktibar serta perbaiki amalan diri kita. InsyaAllah.

Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini? Jawabnya seperti berikut:

KESALAHAN 1:
Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN 2:
Bertudung tetapi ber ‘T-Shirt’ lengan pendek.

KESALAHAN 3:
Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN 4:
Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit & nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.

KESALAHAN 5:
Bertudung tetapi amat longgar & menayangkan jambul & hujung rambutnya.

KESALAHAN 6:
Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya & sebagainya.

KESALAHAN 7:
Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN 8:
Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk & dadanya.

♣ Jangan Merasa Gembira Dengan Kesusahan Orang Lain


JANGAN MERASA GEMBIRA DENGAN KESUSAHAN ORANG LAIN

بسم الله الرحمن الرحيم

“Janganlah merasa gembira dengan kesusahan saudaramu, kerana Allah akan mengasihaninya lalu meletakkan kesusahan itu ke atas dirimu”

[HR. Tirmizi:4/662]

Muslimah yang jujur yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam tidak akan berasa gembira bila melihat kesusahan orang lain, kerana sifat itu sangat buruk, menyakitkan hati sehingga tidak sepatutnya ada pada diri orang yang bertakwa kepada Allah Ta’ala. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam melarang dari bersikap begitu & memberi peringatan tentangnya.

Tidak ada ruang langsung untuk sifat yang buruk ini dalam hati wanita Muslimah yang mukminah. Sebaliknya, dia merasa sedih pada orang yang berdepan dengan ujian & kesusahan. Maka dia segera membantu mereka dengan belas kasihan. Gembira melihat orang lain susah hanya dimiliki oleh hati yang ada penyakit yang terhalang dari mendapat petunjuk Islam & yang sudah biasa membalas dendam atau berusaha menyakiti orang lain.

♣ Wanita ‘Abidah Perindu Ilahi


WANITA ‘ABIDAH PERINDU ILAHI

بسم الله الرحمن الرحيم

Wanita ‘abidah perindu Ilahi dapat mengawal rindunya pada dunia, kekayaan, kemewahan, pembaziran, kecantikan & segala isi dunia. Mereka dapat mengubah nafsunya daripada nafsu-nafsu jahat kepada nafsu-nafsu yang baik melalui mujahadah, yakni, daripada nafsu marah kepada memaafkan & dengki kepada kasih sayang. Maka jadilah mereka bagaikan tiang negara yang menyangga sesebuah negara daripada runtuh.

Sebab itu Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Untuk menjadi wanita ‘abidah perindu Ilahi, tidak semudah menjadi wanita berkerjaya yang cuma dilatih akalnya. Sedangkan wanita ‘abidah perlukan didikan fizikal, mental & jiwanya sekaligus. Mereka bukan sahaja diperkenalkan dengan dunia, tetapi juga dengan alam Barzakh & alam Akhirat. Bahkan juga dikenalkan dengan Allah Ta’ala”

Dunia amat perlukan wanita yang tidak lagi menurutkan nafsunya tapi memusatkan perhatian & rindunya kepada Zat yang paling hampir dengannya & terus-menerus mengawasi hidupnya, yakni, Zat Allah Ta’ala.

Sembahyang yang dilakukan merupakan pertemuan & penyerahan dirinya secara total kepada Allah Ta’ala. Ia dirasakan terlalu indah & amat bermakna. Setiap ucapan dihayati & dilafazkan dengan penuh kusyuk. Rukun-rukun fi’li dikerjakan dengan komitmen jiwa yang penuh kehambaan & perilakunya sewaktu menghadap Allah Ta’ala, seolah-olah takut & hormat sekali. Maka hasil daripada ucapan & perbuatan dalam sembahyang, wanita ‘abidah perindu Ilahi mendapat rasa tawadhu, tawakkal, rendah diri, takut, cinta, yakin, rindu & kagum kepada Allah Ta’ala, kekasihnya. Itulah iman & taqwa.

Orang yang berakhlak sahaja yang boleh bahagia tatkala ditimpa ujian. Tanpa akhlak, tidak akan ada seorang pun manusia yang dapat merasa bahagia hidup di dunia. Kerana, hidup ini memang tidak akan lepas daripada ujian. Siapa yang tidak bahagia di dunia nescaya tiada harapan untuk bahagia di Akhirat.

Gabungan rasa-rasa itu mencetuskan akhlak yang sangat agung; sabar, redha, penyayang & pemaaf.

♣ Wahai Muslimah


WAHAI MUSLIMAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Wahai Muslimah;
Yang selalu berkata dirimu Muslimah;
Jangan kau terus berkata Muslimah;
Sebelum kau tunjukkan akhlak sebagai Muslimah..

Wahai Muslimah;
Yang selalu berkata untuk tetap menjaga dirinya;
Namun kau ingkari kata-katamu;
Dengan berhubungan tersembunyi..

Wahai Muslimah;
Yang paling lembut kata-katanya;
Jangan kau gunakan kelembutan itu;
Untuk membuat kaum pria terpesona..

 

♣ Rintihan Dalam Munajat


RINTIHAN DALAM MUNAJAT

بسم الله الرحمن الرحيم

Senja usia melamar diri;
Biarpun masih muda;
Namun bukan jaminan;
Untuk tidak kembali pada-Nya..

Lautan yang tenang bisa ombak mengganas;
Inikan pula manusia kerdil;
Yang begitu rakus meratah dunia;
Ada apa dengan dunia;
Sehingga kita terpana;
Dengan sedikitnya nikmat-Nya;
Kelalaian menerjah;
Tatkala gagah menguasai diri;
Sukar sekali melawan nafsu..

Apa nasibku Ya Allah;
Tika aku dipanggil-Mu pulang;
Membawa bekalan apa;
Setelah Engkau memberiku kehidupan;
Gembirakah aku dijemput-Mu;
Atau kehidupanku menjadi negeri di sana..

Erat genggaman azam;
Untuk memperbaiki diri;
Namun khuatir;
Apakah nasib di penghujung;
Sedang Hidayah milik-Nya..

Bisikkan pada hati;
Milik-Nya kini selamanya;
Jangan sombong sujud menyembah;
Pohon doa husnul khatimah..

♣ Wanita Solehah Tidak Memandang & Tidak Dipandang


WANITA SOLEHAH TIDAK MEMANDANG & TIDAK DIPANDANG

بسم الله الرحمن الرحيم

Maaf, wajahmu itu bukan untuk tontonan umum, apalagi tontonan khusus – Wanita Solehah Tidak Memandang & Tidak Dipandang

Hayatilah suatu kisah;

Kisah benar belaka;

Seorang pemuda dalam pencarian;

Mencari pemilik rusuk kirinya;

Sudah bertahun bersendirian;

Muncullah calon yang entah ke berapa;

Seperti biasa;

Diusulkan emak tersayang..

Bukan calang-calang calon yang diusulkan;

Lulusan universiti Timur Tengah;

Menghormati permintaan si anak;

Yang mahu pendamping Solehah;

Sejuk mata memandang;

Bertudung labuh litup;

Pandai berbahasa Arab;

Pendek kata tip top!..

Si pemuda mulakan istikharah;

Hampir berminggu;

Setelah meneliti gambar;

Mula mencari maklumat;

Sebelum sesi ta’aruf bermula..

Si pemuda menjenguk ke web;

Laman Friendster kegemaran ramai;

Yang kini mungkin Facebook;

Satu keajaiban!;

Si lelaki tidak pernah punya web sedemikian;

Tiba-tiba tergamam;

Si gadis masih anggun;

Bertudung labuh litup;

Namun, bergambar sakan;

Aduh!..

Terkejut bukan kepalang;

Calon solehah direject tanpa ihsan;

Bukan menjadi pilihan;

Kerana gambar ditayang;

Dengan penuh sakan;

Pemilihan terbatal..

Dia pernah berkata;

Perempuan cantik itu;

Tidak memandang & tidak dipandang;

Perempuan cantik itu;

Tidak mengenali & tidak dikenali;

Perempuan cantik itu;

Tidak menegur & tidak ditegur..

Akhirnya;

Solehah kempunan calon Soleh;

Merayu untuk dipertimbangkan;

Tapi sayang sekali;

Si pemuda tetap;

Tidak berganjak dengan keputusan;

Wahai Muslimah;

Aku & kamu;

Mari mempelajari & mencontohi;

Watak-watak wanita Salafussoleh;

Sifat, pengorbanan & perjuangan mereka;

Kerana wanita Solehah itu;

Lebih baik daripada;

Seribu lelaki yang Soleh..

Wahai adik-adik Muslimah marilah mengambil iktibar, jadilah Muslimah sebenar, jangan berselindung disebalik tudung litupmu itu. Sampaikanlah pada sahabat-sahabat kalian sekiranya mereka bertepatan dengan puisi ini. Terima kasih kepada penulis puisi ini.

Aku berbuat begini, bukan nak tunjuk baik atau berlagak alim kerana ilmuku bukanlah setinggi ilmu para ustazah atau wali-wali Allah Ta’ala. Tapi aku cuba berusaha untuk menjadi Muslimah Solehah. Biarpun dosa-dosa lalu belum habis kifarahnya. Tapi aku tetap akan berusaha untuk menepis dosa-dosa baru (sengaja atau tidak sengaja).

Aku postkan pesanan ini buatmu ukhtiku, mungkin kau sudah jemu dengan pesanan-pesanan sebegini, tapi tidak mengapa, selagi hayatku ada, aku tidak akan jemu untuk menyebarkannya. Untuk apa? Untuk siapa? Untuk bagaimana? Bila & di mana? Semuanya ada pada diri kita.

Jadi, hargailah anugerah kecantikan yang Allah Ta’ala bagi, dalam hati juga mahu bukan sekadar luaran (sekali lagi, peringatan untuk diriku juga). Simpan, simpan gambar-gambar anda seelok-eloknya. Kerana gambar-gambar itu boleh membawa sejuta tafsiran. Renungkanlah kerana saya prihatin.


♣ Kisah Anak Soleh & Ayah Fasiq


KISAH ANAK SOLEH & AYAH FASIQ

بسم الله الرحمن الرحيم

Seluruh kampung semacam tak percaya. Tapi itulah hakikatnya. Ramli, anak arwah Pak Hamid pulang dari luar negara sebagai seorang jurutera & hafiz. Semalam dia mengimamkan solat Terawih. Lunak & lancar bacaannya. Mereka yang tidak kenal asal-usul Ramli, kagum. Mereka yang mengenali lebih kagum.

Saya adalah antara generasi anak kampung yang masih mengingati Pak Hamid. Malam setelah pulang dari solat Terawih, saya berbual-bual dengan anak saya.

“Ayah nak kamu contohi imam muda tadi. Sudahlah hafiz, jurutera pula, hebat betul. Kalau kamu tahu sejarah hidup dia, kamu akan lebih kagum. Ayah tahu, dah tentu, kan ayah anak jati kampung ini”

Nostalgia kisah Pak Hamid terbayang kembali di ruang mata.

“Ayah nak cerita, sekadar mengambil iktibar. Bukan hendak memburuk-burukkan orang yang telah mati”

Perlahan saya memulakan cerita.

“Kenapa begitu sekali ayah? Pak Hamid terkenal di kampung ni sebagai orang yang buruk perangainya. Solat tidak. Puasa tidak. Menjengah ke surau langsung tak pernah. Berjudi, minum arak dah jadi kebiasaannya. Ramli tu terseksa sejak kecil lagi. Dibentak-bentak. Makan minum, pakaian & sekolahnya tak terurus langsung. Tapi macam mana dia boleh mencapai kedudukan seperti sekarang?”

“Itulah luar biasanya Ramli ni. Dalam serba kekurangan & cabaran tu dia gigih. Rajin belajar. Berdikari mencari rezeki”

“Ibunya macam mana?”

“Ibunya dah lama meninggal dunia. Kata orang itulah sebabnya Pak Hamid jadi begitu. Berubah sejak kematian isteri”

“Sedih juga. Kalau orang lain dah lama putus asa. Tapi Ramli tidak. Hasil keputusan cemerlang di sekolah rendah dia terus belajar ke asrama penuh & entah macam mana kaedah dia mampu meneruskan pencapaian akademik & hafaz Al-Quran sekaligus. Hebat”

“Baguslah, jika berpeluang kamu ikuti jejaknya. Kembali kepada kisah Pak Hamid, dia meninggal tak lama selepas Ramli melanjutkan pelajaran ke sekolah asrama penuh. Ayah masih ingat”

Saya sebak.

“Kenapa ayah?”

“Waktu Ramli pulang menjelang pengkebumian jenazah ayahnya, dia menangis. Sebatang kara. Orang kampung kata macam-macam tentang arwah ayahnya. Berdosa besar, jenazahnya berat, berat dosalah, macam-macam. Sedih ayah rasakan, Ramli yang masih muda tu terpaksa menanggung kecaman di hari kehilangan orang yang disayanginya. Mujurlah ada datuk kamu. Ayah masih ingat datuk kamu panggil Ramli untuk berjalan bersama dari tanah perkuburan. Ayah ada sekali. Apa kata datuk? Ramli, kalau benar sayangkan ayah kamu, jadi anak soleh. Doakan dia. Itu sahaja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di akhirat”

Anak saya diam. Terkesima agaknya. Matanya mula redup.

“Datuk kamu menyambung lagi. Untuk harumkan kembali nama ayah kamu di dunia, kamu belajar bersungguh-sungguh. Jadi orang berjaya dalam hidup. InsyaAllah, kecemerlangan kamu akan menjulang kembali nama ayah kamu yang dikata-katakan orang pada hari ini. Macam mana reaksi imam Ramli waktu tu? Dia hanya mengesat air mata dan mengangguk-angguk”

“Hebat betul ayah, sekarang semuanya jadi realiti”

“Memang hebat. Anak yang soleh & baik dari seorang ayah yang sedemikian. Kamu bagaimana?”

“Saya bertuah ada ayah!”

Saya terdiam. Terusik hati saya, adakah aku ayah yang baik?

“Kamu mesti terima kenyataan bahawa kita masih mampu menjadi anak yang soleh walaupun bapa kita bukan seorang yang soleh & tidak semestinya bapa soleh maka anaknya secara automatik jadi anak yang soleh”

“Kenapa ya?”

“Itulah bukti keadilan Allah Ta’ala. Dosa & pahala tidak boleh diwariskan. Setelah akil baligh setiap kita punya potensi sendiri, nak jadi baik atau sebaliknya”

“Jadi seorang ayah yang soleh tak boleh membentuk anak yang soleh?”

“Tak begitu. Didikan ibu bapa sangat memainkan peranan. Anak yang dididik secara baik,berpotensi menjadi anak yang soleh bila dewasa. Tetapi masih ada usaha yang dia sendiri perlu lakukan untuk meneruskan pentarbiyahan menjadi insan soleh. Jika dipatuhinya, alhamdulillah. Jika menyimpang, dia akan menerima akibatnya”

“Saya setuju dengan pandangan ayah. Ini bukti keadilan Allah Ta’ala. Jika tidak, setiap anak terpaksa menanggung akibat kesalahan ibu bapanya tanpa berpeluang untuk mengubah keadaan dirinya”

“Ya, itulah yang dibuat oleh imam Ramli. Demi cinta & kasih kepada ayahnya, dibela maruah ayahnya di dunia & akhirat. Tolong buat begitu jika ayah telah tiada”

Semacam wasiat pula kata-kata saya.

Pada pagi raya, selepas solat Aidilfitri, kami sama-sama menziarahi pusara di pinggiran kampung. Saya lihat imam Ramli duduk di tepi pusara ibu & ayahnya. Saya & anak duduk di tepi pusara insan yang paling kami sayangi. Ayah saya, datuk kepada anak saya. Lelaki yang pernah menasihati imam Ramli. Mudah-mudahan rohnya bersemadi di sisi orang soleh. Nasihatnya sangat memberi bekas. Saya yakin ayah ikhlas waktu itu. Saya masih ingat dialog ayah dengan imam Ramli belasan tahun yang lalu di kawasan perkuburan ini. Saya di sisi mereka. Saya melihat air mata ayah mengalir sewaktu meluahkan nasihat. Oh, mampukah saya seikhlas itu?

♣ Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati


MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

بسم الله الرحمن الرحيم

Semoga para akhwat berwaspada & lebih berhati-hati dalam berinteraksi dengan yang bukan mahramnya demi menjaga nama baik & keiffahan kalian;

Jaga interaksi kita dengan lawan jenis terutama via Inbox & jangan membicarakan hal-hal yang tidak penting serta di luar udzur syar’i;

Jangan terbuai dengan godaan kaum Adam dengan menggunakan bahasa agama;

Jangan hanya melihat indah kata-kata mereka, tapi lihatlah fi’il apa yang dilakukannya kerana kadang-kadang lisan tidak sepadan dengan perbuatan;

Sungguh cara yang terbaik dalam melindungi diri kita dari merbahaya adalah menjauhi diri kita dari segala pemicunya..

“Ya Allah, tunjukkan kepada kami yang benar & jadikan pilihan kami mengikuti yang benar itu & juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar & permudahkan kami meninggalkannya, amiin”

♣ Ku Tunggu Tikanya Untuk Meminangmu


KU TUNGGU TIKANYA UNTUK MEMINANGMU

بسم الله الرحمن الرحيم

“Sanggupkah awak menunggu selama tiga tahun?”
Tanya ‘putera penyelesaian’ memecah kebuntuan di dalam satu sesi ‘perkenalan’.

“Kenapa awak bertanya begitu?”
Soal ‘puteri keadilan’ kembali.

“Saya akan usahakan untuk menyelesaikan pengajian peringkat sarjana dahulu & dalam masa yang sama untuk mempersiapkan diri menempa sejarah hari mendatang”
Jelas putera.

“Saya juga ingin menyelesaikan pengajian peringkat sarjana dalam tempoh itu”
Kata puteri.

Tempoh yang sama, masa yang sama, impian yang sama untuk memburu kejayaan hidup. Alhamdulillah.

*~

Merindukan pendamping hidup adalah fitrah setiap insan. Pemuda, sebagai makhluk Allah Ta’ala yang cenderung bergiat aktif di medan juang memerlukan pendamping sebagai sayap kiri perjuangan. Manakala wanita pula, insan mulia makhluk ciptaan Illahi yang cenderung untuk dilindungi pasti berharap akan kehadiran seorang pemuda dalam hidupnya.

Dan saat menanti sama ada untuk meminang mahupun dipinang, adalah ujian berat bagi seorang gadis dan tidak terlepas juga bagi seorang pemuda. Sebagai bunga yang telah mekar atau sememangnya telah mekar sekian lama, seringkali ia akan terlena dengan tawaran manis si kumbang yang datang mempersonanya. Sayang, kebanyakan kumbang-kumbang itu sekadar ingin menggoda saja. Begitu juga, sebagai wira yang telah terbina, seringkali ia akan terlena dengan senyuman manis perawan yang datang menggoda. Tapi sayang, kebanyakan perawan itu hanya mahu menumpang kesenangan& menghirup madu kemewahan saja.

Kerana itu setiap gadis Muslimah perlulah pandai menjaga & selalu berhati-hati, jangan sampai tertipu. Setiap jejaka muslimin juga perlulah menutup pintu hati serapat mungkin, jangan sampai terleka & alpa.

*~

“Kamu sudah bertunang?”
Tanya seorang teman setelah terlihat cincin bertatahkan batu zamrud hijau di jari manis.

Hanya senyuman yang saya lemparkan sebagai jawapan.

“Ya, saya sudah bertunang. Bertunang dengan kematian sejak saya dilahirkan”
Jawab seorang insan solehah yang jamilah di ketika yang lain.

*~

“Jaga batas dengan baik dalam tempoh penantian ini”
Nasihat seorang pak cik yang saya panggil ‘abi’.

“Abi, apakah yang sebaiknya dilakukan oleh seseorang yang dalam penantian?”
Tanya saya.

“Tidak kira macam mana sekalipun, jangan dilupakan tujuan kita ini diciptakan untuk mengabdikan diri pada Allah Ta’ala, jadi perbanyakkan amal ibadah”
Jawab abi.

“Jangan dilupakan juga konsep berdoa & tawakkal, disamping itu persiapkan diri & membekali diri dengan ilmu”
Abi menambah.

“Membekali ilmu dengan mempelajari kitab munakahat seperti kitab yang sedang dipelajari ini ke abi?”

Tanya saya dengan nada gurauan.

*~

Memperbanyakkan amal ibadah:
Seorang yang dalam penantian hendaklah semakin mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Mendekatkan diri, bertaqarrub & bermunajat kepada Allah Ta’ala dengan memperbanyakkan amal ibadah, khususnya ibadah sunat. Kerana ia merupakan perisai ampuh membentengi diri dari berbagai godaan.

Doa & tawakkal: Semua tentang manusia ini telah pun ditetapkan Allah Ta’ala. Rezeki, maut, termasuk jodoh manusia telah diaturkan Allah Ta’ala dengan sebaik pengaturan & Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-Nya. Apa yang perlu dilakukan adalah berikhtiar menjaga perhubungan & berdoa, kemudian bertawakkal kepada-Nya. Hanya kepada Allah Ta’ala kita berserah diri & mohon pertolongan. Berdoalah agar pasangan merupakan seorang yang soleh & solehah, yang baik agamanya, baik akhlaknya & elok rupa parasnya yang boleh membawa kebahagiaan bagi kita di dunia & akhirat. Tanamkanlah keyakinan kepada Allah Ta’ala. Sesungguhnya Allah Ta’ala itu mengikuti & perkenankan apa yang disangkakan oleh hamba-Nya. Maka yakinlah doa kita akan dimakbulkan & dengan itu janganlah kita berburuk sangka kepada Allah Ta’ala.

Mempersiapkan diri & membekali diri dengan ilmu:
Persiapkan & bekali diri dengan ilmu, khususnya ilmu agama terutamanya yang berkaitan dengan tatacara berumahtangga. Persiapkan diri dengan ketrampilan seorang yang akan berumahtangga. Pasangan pasti akan merasa gembira dan sejuk di hati melihatkan diri ini terampil & bersedia menjadi insan soleh & solehah yang mana merupakan sebaik-baik perhiasan buat pasangan. Tidak lupa juga dalam mempersiapkan diri dari segi perwatakan & kesihatan luaran & dalaman supaya tampil baik, cantik serta segar. Tetapi ingat! Kecantikan itu tidak boleh diolah sebarangan, persembahkan hanya untuk pasangan tercinta kelak.

*~

“Dua hati yang jauh dipisahkan oleh laut membentang boleh bertemu apabila sama-sama bertaqarrub dihadapan Allah Ta’ala, boleh berbual apabila sama-sama bermunajat pada Allah Ta’ala. Maka ikatlah dua hati yang terpisah di hadapan Allah Ta’ala dengan sama-sama kembali kepada-Nya pada waktu yang sama”

Kata abi menambah perkongsian pengalaman.

Menantimu puteri ibarat menenun songket kasih. Pedih bersengkang mata, sepuluh jari terluka, namun hasilnya menjadi penawar manis.

♣ Kisah Gadis Solehah


KISAH GADIS SOLEHAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Saat aku mengandung puteriku, Afnan, ayahku melihat sebuah mimpi di dalam tidurnya. Ia melihat banyak burung pipit yang terbang di angkasa. Di celah burung-burung tersebut terdapat seekor merpati putih yang sangat cantik, terbang jauh meninggi ke langit. Maka aku bertanya kepada ayah tentang tafsir dari mimpi tersebut. Maka ia memberitahuku bahawa burung-burung pipit tersebut adalah anak-anakku & sesungguhnya aku akan melahirkan seorang gadis yang bertakwa. Ayahku tidak menyempurnakan tafsirnya, sementara aku pun tidak meminta tafsir tentang maksud mimpi tersebut.

Kemudian, aku melahirkan puteriku, Afnan. Ternyata dia benar-benar seorang gadis yang bertakwa. Aku melihatnya sebagai seorang wanita yang solehah sejak kecil. Dia tidak pernah mahu mengenakan seluar, tidak juga mengenakan pakaian pendek, dia akan menolak dengan keras, padahal dia masih kecil. Jika aku mengenakan gaun pendek padanya, maka dia juga akan memakai seluar panjang.

Afnan sentiasa menjauhkan diri dari perkara yang dimurkai Allah Ta’ala. Ketika kanak-kanak dia menolak pergi ke tempat-tempat permainan, atau ke pesta-pesta. Dia adalah seorang gadis yang berpegang teguh dengan agamanya, menjaga solatnya & sunnah-sunnahnya. Tatkala dia meningkat remaja, mulailah dia berdakwah kepada agama Allah Ta`ala. Dia tidak pernah melihat sebuah kemungkaran kecuali dia mengingkarinya & memerintah kepada yang ma’ruf & senantiasa menjaga maruah & auratnya.

Permulaan dakwahnya kepada agama Allah Ta’ala adalah permulaan masuk Islamnya pembantu kami yang berbangsa Sri Lanka.

Ibu Afnan melanjutkan ceritanya.

Tatkala aku mengandung puteraku, Abdullah, aku terpaksa mengambil seorang pembantu untuk mengasuhnya ketika ketiadaanku, kerana aku adalah seorang karyawan. Dia beragama nasrani. Setelah Afnan mengetahui bahawa pembantu tersebut bukan seorang Muslim, dia marah & mendatangiku lalu berkata,
“Wahai ummi, bagaimana dia akan menyentuh pakaian-pakaian kita, mencuci piring-piring kita & mengasuh adikku, sedangkan dia adalah wanita kafir? Aku bersedia untuk berhenti sekolah & menjaga ibu & adik selama 24 jam & janganlah menjadikan wanita kafir sebagai pembantu kita!”

Aku tidak memperdulikannya, kerana memang keperluan terhadap pembantu tersebut amat mendesak. Hanya dua bulan setelah itu, pembantu tersebut mendatangiku dengan penuh kegembiraan sambil berkata,
“Mama, aku sekarang menjadi seorang Muslimah, kerana jasa Afnan yang terus mendakwahiku. Dia telah mengajarkan kepadaku tentang Islam”

Maka akupun sangat gembira mendengar khabar baik ini.

Pada satu ketika, pak ciknya memintanya hadir dalam pesta pernikahannya. Dia memaksa Afnan untuk hadir, jika tidak maka dia tidak akan meredhakannya sepanjang hidupnya. Akhirnya Afnan bersetuju atas desakan pak ciknya itu & juga kerana Afnan sangat mencintai pak ciknya itu.

Afnan bersiap untuk menghadiri pernikahan itu. Dia mengenakan sebuah gaun yang menutupi seluruh tubuhnya. Dia adalah seorang gadis yang sangat cantik. Setiap orang yang melihatnya akan terkagum dengan kecantikannya. Semua orang kagum dan bertanya-tanya, siapa gadis ini? Mengapa engkau menyembunyikannya dari kami selama ini?

Setelah menghadiri pernikahan pak ciknya, Afnan diserang penyakit kanser tanpa kami ketahui. Dia merasakan sakit yang teramat sakit pada kakinya. Dia menyembunyikan rasa sakit tersebut & berkata,
“Sakit ringan di kakiku”

Sebulan setelah itu dia menjadi pincang, saat kami bertanya kepadanya, dia menjawab,
“Sakit ringan, akan segera hilang, insyaAllah”

Setelah itu dia tidak mampu lagi berjalan. Kamipun membawanya ke rumah sakit.

Selesailah pemeriksaan & diagnosa yang sudah semestinya. Di dalam salah satu ruangan di rumah sakit tersebut, sang doktor berbangsa Turki mengumpulkanku, ayahnya & pamannya. Hadir pula pada saat itu seorang penterjemah & seorang perawat yang bukan Muslim. Sementara Afnan berbaring di atas ranjang.

Doktor memberitahu kami yang Afnan terkena serangan penyakit kanser di kakinya & dia akan memberikan 3 suntikan kimo yang akan menggugurkan seluruh rambut. Akupun terkejut dengan berita ini. Kami duduk menangis. Ada pun Afnan, saat dia mengetahui berita tersebut dia sangat gembira & berkata,
“Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah”

Akupun mendekatkan dia di dadaku sementara aku dalam keadaan menangis.

Dia berkata.
“Wahai ummi, alhamdulillah, musibah ini hanya menimpaku, bukan menimpa agamaku”

Diapun bertahmid memuji Allah Ta’ala dengan suara keras, sementara semua orang melihat kepadanya dengan keadaan tercengang!

Aku merasa diriku kecil, sementara aku melihat gadis kecilku ini dengan kekuatan imannya & aku dengan kelemahan imanku. Setiap orang yang bersama kami sangat terkesan dengan kejadian ini & kekuatan imannya. Adapun penterjemah & para perawat, merekapun menyatakan keislamannya!

Berikutnya adalah perjalanan dia untuk berubat & berdakwah kepada Allah Ta`ala.

Sebelum Afnan memulai pengubatan dengan bahan-bahan kimia, pamannya meminta gunting untuk memotong rambutnya sebelum gugur akibat pengubatan. Dia menolak dengan keras. Aku cuba untuk memberinya pengertian agar memenuhi keinginan pamannya, akan tetapi dia menolak seraya berkata,
“Aku tidak ingin terhalangi dari pahala bergugurannya setiap helai rambut dari kepalaku”

Kami (aku, suami & Afnan) pergi untuk pertama kalinya ke Amerika. Saat kami sampai di sana, kami disambut oleh seorang doktor wanita Amerika yang sebelumnya pernah bekerja di Saudi selama 15 tahun. Dia boleh berbicara bahasa Arab. Saat Afnan melihatnya, dia bertanya kepadanya,
“Apakah engkau seorang Muslimah?”

Dia menjawab,
“Tidak”

Afnan pun meminta kepadanya untuk pergi bersamanya menuju ke sebuah kamar kosong. Doktor wanita itupun membawanya ke salah satu ruangan. Setelah itu doktor wanita itu menghampiriku sambil kedua matanya berlinangan air mata. Dia mengatakan bahwa sesungguhnya sejak 15 tahun dia di Saudi, tidak pernah seorangpun mengajaknya kepada Islam & di sini datang seorang gadis kecil yang mendakwahinya. Akhirnya dia masuk Islam melalui Afnan.

Di Amerika, mereka memberitahu bahawa tidak ada ubat baginya kecuali memotong kakinya, kerana ditakuti kanser tersebut akan merebak sampai ke paru-paru & akan mematikannya. Tetapi Afnan sama sekali tidak takut, yang ditakutinya adalah perasaan kedua orang tuanya.

Pada suatu hari Afnan berbicara dengan salah seorang temanku melalui Messenger. Afnan bertanya kepadanya,
“Bagaimana menurut pendapatmu, apakah aku akan menyetujui mereka untuk memotong kakiku?”

Maka dia cuba untuk menenangkannya dengan mencadangkan kaki palsu sebagai gantinya. Maka Afnan menjawab dengan satu kalimat,
“Aku tidak memperdulikan kakiku, yang aku inginkan adalah mereka meletakkanku di dalam kuburku sementara aku dalam keadaan sempurna”

Temanku tersebut berkata,
“Sesungguhnya setelah jawapan Afnan, aku merasa kecil di hadapan Afnan. Aku tidak memahami sesuatupun, seluruh fikiranku saat itu tertuju kepada bagaimana dia nanti akan hidup, sedangkan fikirannya lebih tinggi dari itu, iaitu bagaimana nanti dia akan mati”

Kamipun kembali ke Saudi setelah pembedahan kaki Afnan & tiba-tiba kanser telah menyerang paru-paru!

Keadaannya sungguh kritikal, lalu mereka meletakkannya di atas ranjang & disisinya terdapat sebuah tombol. Hanya dengan menekan tombol tersebut maka dia akan tersuntik dengan jarum bius & jarum infus.

Di rumah sakit tidak terdengar suara adzan & keadaannya seperti orang yang koma. Tetapi hanya dengan masuknya waktu shalat dia terbangun dari komanya, kemudian meminta air, kemudian wuduk & sholat, tanpa ada seorang pun yang membangunkannya!

Di hari-hari terakhir Afnan, para doktor memaklumkan kami bahawa tidak ada gunanya lagi dia di rumah sakit. Sehari atau dua hari lagi dia akan meninggal. Aku ingin dia menghabiskan hari-hari terakhirnya di rumah ibuku.

Di rumah, dia tidur di sebuah kamar kecil. Aku duduk di sisinya & berbicara dengannya.

Pada suatu hari, isteri pamannya datang menjenguk. Aku katakan bahawa dia berada di dalam kamar sedang tidur. Ketika dia masuk ke dalam kamar, dia terkejut kemudian menutup pintu. Aku pun terkejut & bimbang terjadi sesuatu pada Afnan. Maka aku bertanya kepadanya, tetapi dia tidak menjawab. Maka aku tidak mampu lagi menguasai diri, aku pun pergi kepadanya. Saat aku membuka kamar, apa yang kulihat membuatku tercengang. Saat itu lampu dalam keadaan dimatikan, sementara wajah Afnan memancarkan cahaya di tengah kegelapan malam. Dia melihat kepadaku kemudian tersenyum.

Dia berkata,
“Ummi kemarilah, aku mahu menceritakan sebuah mimpi yang telah kulihat”

Ku katakan,
“Mimpi yang baik, insyaAllah”

Dia berkata,
“Aku melihat diriku sebagai pengantin di hari pernikahanku, aku mengenakan gaun berwarna putih yang lebar. Engkau & keluargaku, kalian semua berada disekelilingku. Semuanya berbahagia dengan pernikahanku, kecuali engkau ummi”

Akupun bertanya kepadanya,
“Bagaimana menurutmu tentang tafsir mimpimu tersebut”

Dia menjawab,
“Aku menyangka, bila aku meninggal & mereka semua akan melupakanku & hidup dalam kehidupan mereka dalam keadaan berbahagia kecuali engkau ummi. Engkau terus mengingatiku & bersedih atas pemergianku”

Benarlah apa yang dikatakan Afnan. Aku sekarang ini, saat aku menceritakan kisah ini, aku menahan sesuatu yang membakar dari dalam diriku, setiap kali aku mengingatinya, aku pun bersedih atasnya.

Pada suatu hari, aku duduk dekat dengan Afnan, aku & ibuku. Saat itu Afnan berbaring diatas ranjangnya kemudian dia terbangun.

Dia berkata,
“Ummi, dekatlah kepadaku, aku ingin menciummu”

Maka diapun menciumku.

Kemudian dia berkata,
“Aku ingin mencium pipimu yang kedua”

Akupun dekat kepadanya & dia menciumku, kemudian kembali berbaring di atas ranjangnya.

Ibuku berkata kepadanya,
“Afnan, ucapkanlah la ilaaha illallah”

Kemudian dia menghadapkan wajah ke arah qiblat & berkata,
“Asyhadu allaa ilaaha illallaah”

Dia mengucapkannya sebanyak 10 kali.

Kemudian dia berkata,
“Asyhadu allaa ilaaha illallahu wa asyhadu anna muhammadan rasuulullaah”

& keluarlah rohnya.

Maka kamar tempat dia meninggal di dalamnya dipenuhi oleh aroma minyak kasturi selama 4 hari. Aku tidak mampu untuk tabah, keluargaku takut akan terjadi sesuatu terhadap diriku. Maka mereka pun menyembur kamar tersebut dengan aroma lain sehingga aku tidak bisa lagi mencium aroma Afnan & tidak ada yang aku katakan kecuali alhamdulillah rabbil ‘aalamin.