Archives

♣ Wanita Agar Engkau Bahagia


WANITA AGAR ENGKAU BAHAGIA

بسم الله الرحمن الرحيم

Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri & kedudukan kecuali beriman kepada Allah Ta’ala. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dialah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya & menjadi wanita pilihan disisi Rabbnya.

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut, kafir terhadap Rabbnya, mengingkari agamanya & melepaskan tuntutan-Nya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina & terbuang.

Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini & matahari terbit di keningnya.

Wahai wanita Muslimah yang jujur, wahai wanita Mu’minah yang selalu kembali kepada Allah Ta’ala, jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin & memberikan manfaat kepada sekalian manusia.

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah, diammu adalah berfikir.

Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan & akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk & Allah Ta’ala akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan & gumpalan kekeruhan.

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu’min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit & kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasihnya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Rabbnya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat & yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.