Archives

♣ Tolong Sampaikan Pada Si Dia


TOLONG SAMPAIKAN PADA SI DIA

بسم الله الرحمن الرحيم

Tolong beritahu si dia, aku ada pesanan buatnya;
Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cinta-Nya;
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa..

Tolong nasihati sia dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa;
Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa;
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibubapanya..

Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah Ta’ala kerana di situ ada syurga;
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibubapanya kerana di telapak itu syurga-Nya..

Tolong ingatkan si dia, aku terpikat kerana imannya bukan rupa;
Tolong ingatkan si dia, aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta;
Tolong ingatkan si dia, aku kasihinya kerana santunnya..

Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia;
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya;
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya..

Tolong sedarkan si dia, aku milik Yang Maha Esa;
Tolong sedarkan si dia, aku masih milik keluarga;
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..

Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana;
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta;
Tolong sabarkan si dia, bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya..

Tolong pesan padanya, aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya;
Tolong pesan padanya, aku tidak mahu menjadi punca kegagalannya;
Tolong pesan padanya, aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya..

Tolong khabarkan pada si dia, aku tidak mahu melekakan dia;
Tolong khabarkan pada si dia, aku mahu dia berjaya dalam impian & cita-citanya;
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku..

Tolong sampaikan pada si dia, aku mendambakan cinta suci yang terjaga;
Tolong sampaikan pada si dia, cinta kerana Allah Ta’ala tidak ternilai harganya;
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa..

Tolong sampaikan kepada si dia, kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri;
Hanya Engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia;
Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa & di mana si dia;
Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya & bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya;
Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti..