Archives

♣ Keabadian Cinta-Nya


KEABADIAN CINTA-NYA

بسم الله الرحمن الرحيم

Bentangan tanah di hadapanku;
Merupakan tanda kebesaran-Mu;
Aku ada kerana kehendak-Mu;
Nyawaku dalam genggaman-Mu;
Kau bisa mengambilku bila pun Kau mahu..

Sudah selayaknya pasir berdebu ini berkaca;
Tentang nama-nama yang ku bawa;
Biarlah terukir samar-samar saja;
Setiap hari hanya mengunci fatamorgana;
Di dunia fana penuh goda dan berharap semua itu akan jadi nyata;
Dalam indah Syurga-syurga yang Kau miliki..

Tidak ada yang kekal;
Semua akan pergi dan berakhir;
Aku hanya bayang-bayang yang mencuba berbenah siang malam;
Menanti mentari, menanti rembulan;
Alas kaki merajut indah bintang-bintang;
Setiap hari;
Selalu begini;
Mencari erti diri;
Memaknai kata hati dan Engkaulah Penguasa;
Pemilik segala yang diinginkan dan diminta para hamba..

Aku hidup tanpa sayap;
Namun aku terbang;
Tinggi;
Setinggi hempasan angin;
Bintanglah yang menerbangkanku;
Lepas;
Bebas;
Dari tanah belenggu yang ku pijak;
Saat mentari telah terbit;
Mencuri ruang gerak bintang-bintang itu;
Serta merta aku terhempas;
Jatuh!..

Dan Engkau Sang Pemilik;
Mengirimkan aku hujan;
Sebagai tali-tali pertahanan;
Memberikan kecintaan.. Kesenangan.. Ketenangan.. Kedamaian.. Kebenaran.. Kesahajaan.. Keagungan.. Kebijaksanaan.. Kasih-sayang..;
Semua pemberian-Mu tanpa batas..

Engkau perdengarkan petir;
Menyambar segala bentuk ketinggian;
Kesendirian dan kedurhakaan;
Lalu Kau pesankan pada badai yang menyapu semacam-macam tugu;
Seelok-elok istana dan Kau belai pelangi;
Memanjakan ‘pojok langit’ mencuri syair dan lirik-lirik;
Berlumba jadi pujangga;
Kerana kebesaran-Mu-lah;
Inspirasi termahal..

Engkaulah keabadian cinta;
Pada semua hamba segala rupa;
Mengapa lagi mengemis cinta?;
Jika Allah Ta’ala Maha Kaya;
Selalu memberi cinta dengan caranya yang serba elegan;
Lewat nafas makhluk-Nya yang tidak terputus;
Hingga cinta-Nya kembali menjemput;
Semua kerana cinta-Nya..