Archives

♣ Untukmu Wanita


UNTUKMU WANITA

بسم الله الرحمن الرحيم

Sabda Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam,

“Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah”

[HR. Muslim]

Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata-mata.

Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan & tidak kurang juga pada keturunan.

Tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya.

Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah Ta’ala adalah terletak pada tahap ketaqwaan kepada Allah Ta’ala.

Wanita adalah makhluk Allah Ta’ala yang amat istimewa.

Kemuliaan & keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah segalanya.

Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah.

Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan & menenangkan hati suaminya.

Sebagai ibu pula, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih & sayang.

“Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga & mereka tidak dianiaya walau sedikitpun”

[QS. An-Nisa’:24]

Dalam Islam wanita amat dihormati & dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang & malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki & wanita diciptakan untuk saling melengkapi.

Setiap lelaki & wanita memiliki tugas-tugas & kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki & wanita adalah sama, iaitu mencari keredhaan Allah Ta’ala.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud,

“Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya & jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu”

[HR. Bukhari & Muslim]

Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu & keterbatasan dalam pergaulan.

Wanita solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, tulisannya hatta namanya sekalipun.

Wajahnya bukan aurat, tetapi ada kalanya ia menjadi aurat

Dalam Mazhab Syafie ada khilafnya berdasarkan ayat ke-30 dalam surah An-Nur.

Allah Ta’ala melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya, kecuali apa yang telah zahir daripadanya.

Ulama Syafie berpendapat makna ‘apa yang zahir daripadanya’ adalah muka & tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap menjadi aurat.

Wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya.

Mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster, facebook & lain-lain.

Suaranya bukan aurat, tetapi ada kalanya ia menjadi aurat

Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi kerana memahami perintah Allah Ta’ala.

“Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya”

[QS. Al-Ahzab:33]

Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi.

Pergaulan yang betul telah Allah Ta’ala ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuaib ‘alaihisallam.

Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian.

Nabi Musa ‘alaihisallam telah mengambil alih tugas mereka.

Apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa ‘alaihisallam dengan keadaan malu untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa ‘alaihisallam ke rumahnya.

Daripada peristiwa ini, Allah Ta’ala menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita yang tidak memdedahkan dirinya kepada pandangan umum.

Apabila ia berurusan dengan lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk & melahirkan rasa malu.

Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat (berdua-duaan).

Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga zina.

Berbual-bual di telefon atau SMS di antara lelaki & wanita kerana dasar cinta terlarang sehingga menyebabkan nafsu syahwat bergelora juga dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua-duaan.

“Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita”
[Saidina Umar Radhiallahu ‘anhu]

Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya kerana dia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan tersebut.

Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?

Maka, labuhkanlah tudungmu.

Ketahuilah bahawa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam, seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab. Kemudian seseorang telah menegurnya,

“Mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang perintah memakainya?”

Lalu wanita tersebut berhenti melangkah & menyuruh seseorang mengambil jilbabnya, lalu beliau berkata,

“Aku tidak mahu selangkah pun aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah Ta’ala”

Malangnya hari ini apa yang terjadi kepada wanita Islam. Bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya.

Saudariku;
Bangkitlah dari lenamu yang panjang & tidak berkesudahan;
Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya;
Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan;
Yakinlah kasih-sayang & keampunan Allah Ta’ala terlalu luas..

Saudariku;
Hidup ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja, dipuji & dipuja, segala kemuliaan & kekayaan tunduk kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin & tidak mempunyai apa-apa;
Seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin & hodoh, dia dihina & dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja;
Matanglah dalam urusan akhiratmu;
Jangan kerana kesenangan dunia yang sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya;
Janganlah kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah Ta’ala di akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah Ta’ala, nescaya kau akan hilang segalanya..

Saudariku;
Saidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah berpesan;
“Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang & dipandang
Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki;
Itu bukan kemuliaan bagimu;
Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai yang boleh dipijak & dimiliki sesiapa sahaja;
Muliakanlah dirimu dengan takwa, setanding mutiara Zabarjad yang hanya mampu dimiliki penghuni Syurga..