Archives

♣ Tambah Ilmu Dengan Bertanya


TAMBAH ILMU DENGAN BERTANYA

بسم الله الرحمن الرحيم

“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah (kamu) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui”

[QS. An-Nahl:43]

Seperkara yang pasti, Islam menggalakan umatnya menuntut ilmu. Banyak cara & kaedah boleh digunakan untuk mendapatkan ilmu, sama ada dengan membaca bahan-bahan ilmiah atau merujuk kepada guru serta mereka yang lebih arif. Sekiranya seseorang itu tidak mengetahui sesuatu perkara terutama berkaitan hukum-hakam, hendaklah bertanya kepada alim ulama serta ahli agama. Bak kata pepatah, malu bertanya, sesat jalan.

Ayat ini menjelaskan bahawa kaum musyrik Mekah tidak dapat menerima kenyataan bahawa Nabi Muhammad mendapat wahyu sedangkan baginda sekadar manusia dari golongan orang kebanyakan sahaja. Lalu Allah Ta’ala menerangkan kemusyrikan mereka dengan menyatakan bahawa bukan baginda sahaja, bahkan sekalian Nabi & Rasul yang diutus sebelum ini juga adalah kaum lelaki daripada kalangan manusia.

Para utusan Allah Ta’ala ini dipertanggungjawabkan menyeru umat manusia agar beribadat & mengabdikan diri semata-mata kerana-Nya. Justeru, ayat ini menggesa & meminta kaum musyrik itu supaya bertanya & merujuk kepada ahli agama tentang perkara yang mereka tidak ketahui.

Hal ini sekaligus menyedarkan kita, bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah Ta’ala yang lemah & serba kekurangan. Banyak perkara yang tidak diketahui oleh mereka, sedangkan ilmu Allah Ta’ala sangat luas mencakupi ilmu alam nyata & ghaib. Sehubungan itu sebagai manusia yang serba kekurangan, hendaklah kita selalu bertanya & merujuk kepada mereka yang pakar lagi arif dalam bidang-bidang tertentu supaya tidak terpesong daripada landasan yang sebenar.



♣ Peluang Berbuat Kebaikan


PELUANG BERBUAT KEBAIKAN

بسم الله الرحمن الرحيم

“Berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai (mencintai) orang yang berbuat baik”

[QS. Al-Baqarah:195]

Jelas bahawa Allah Ta’ala memang mengasihi orang yang melakukan kebaikan. Orang yang baik, bererti baik akhlak & tingkah lakunya. Dia akan melakukan yang baik-baik saja. Ini kerana dia sedar hidup ini adalah kesempatan untuk mengumpul kebaikan. Dengan kebaikan itu, maka turunlah rahmat Allah Ta’ala. Sebaliknya, Allah Ta’ala membenci orang yang berperi laku jahat & berakhlak buruk. Kederhakaan manusia menyebabkan turunnya kemurkaan & bala daripada Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud,

Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku lebih jauh cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:

1. Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta orang miskin yang pemurah.

2. Aku cintakan orang yang rendah hati & diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.

3. Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta orang muda yang bertaubat.

[H. Qudsi]

Peluang berbuat kebaikan memang banyak, tidak terhad kepada orang kaya sahaja. Malah orang miskin & kurang berada juga berpeluang untuk melakukan kebaikan. Allah Ta’ala sememangnya tidak memandang pada darjat & kedudukan.

♣ Rezeki Haram & Rezeki Halal


REZEKI HARAM & REZEKI HALAL

بسم الله الرحمن الرحيم

Mencari rezeki memang digalakkan, apatah lagi untuk tujuan kebaikan & kebajikan keluarga serta masyarakat. Disebabkan itu juga, umat Islam dilarang meminta-minta jika ada kudrat untuk mengusahakan rezeki berkenaan. Kedudukan orang yang berusaha mencari rezeki dengan tangan sendiri malah diangkat kepada kedudukan mulia.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal & menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) & berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah Ta’ala dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam”

[HR. At-Tabrani]

Umat Islam juga diingatkan bahawa hanya rezeki halal yang mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan & ganjaran Allah Ta’ala. Rezeki daripada sumber haram seperti rasuah lambat laun akan menimbulkan kecelakaan & masalah dalam hidup, bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga.

Seorang sahabat, Hakim bin Hizam berkata, dia meminta sedekah daripada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam & baginda memberi kepadanya. Kali kedua dia meminta lagi & sekali lagi Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam memberi.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Harta itu lazat & manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus atau serakah), dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi sesiapa yang menerimanya dengan nafsu serakah dia tidak akan mendapat berkat dengan harta itu; dia seperti orang makan yang tidak pernah merasa kenyang & tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”

[HR. Muslim]

♣ Hati Tenteram Jika Mengingati Allah Ta’ala


HATI TENTERAM JIKA MENGINGATI ALLAH TA’ALA

بسم الله الرحمن الرحيم

“Orang yang beriman itu hati mereka jadi tenteram kerana mengingati-Nya. Ingatlah bahawa, dengan mengingati-Nya, hati menjadi tenteram. Orang yang beriman & mengerjakan perbuatan baik, mereka beroleh untung yang baik & tempat kembali yang utama”

[QS. Ar-Ra’ad:28-29]

“Allah yang membuka jalan kemenangan itu. Dialah yang menurunkan semangat tentang tenteram ke hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan & keyakinan mereka di samping keimanan mereka yang sedia ada”

[QS. Al-Fath:4]

Jiwa aman, fikiran lapang, boleh diperolehi dalam apa bentuk keadaan sekalipun. Kita malah hari-hari dengan ceria, gembira tidak kira dalam keadaan apa sekalipun diri kita. Rahsianya, adalah dengan mengingati-Nya dalam senang, dalam susah, dalam suka & dalam duka. Cahaya kedamaian selalu menyinari jiwa orang yang hatinya dekat dengan-Nya. Sama ada mereka kaya berada atau miskin tidak berharta, mereka sihat atau diuji dengan kesakitan, mereka masih boleh tenang andai dalam hati ada-Nya. Pendek kata, krisis hidup bukanlah penamat kehidupan, andai mereka reda, hati mereka akan terus tenteram.

BISIKKAN KE HATI

“Aku sentiasa dekat dengan Allah Ta’ala. Jiwaku aman, fikiranku tenang walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Hari-hariku ceria & penuh harapan. Aku tidak gundah risau, malah mampu tersenyum kerana aku yakin kebaikan yang Allah Ta’ala janjikan untukku. Dia telah meniup ketenangan & ketenteraman dalam hatiku”

♣ Apabila Makan & Minum


APABILA MAKAN & MINUM

بسم الله الرحمن الرحيم

Makan ketika lapar & berhenti sebelum kenyang. Hal ini menjadi amalan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam & para sahabat baginda. Makan & minum bagi orang Islam bukanlah untuk tujuan kepuasan nafsu tetapi sebagai suatu langkah keselamatan untuk diri bagi memudahkan individu itu melaksanakan ibadah pada-Nya. Oleh itu, dalam konteks ini makan & minum dianggap sebagai suatu ibadah. Untuk memastikan makanan itu mendatangkan keberkatan, umat Islam digalakkan agar mengambil makanan yang halal & baik-baik sahaja.

Hal ini seperti yang disarankan-Nya lewat firman-Nya yang bermaksud:

“Makanlah yang baik-baik dari apa yang telah Kami (Allah) rezekikan kepadamu”

[QS. Al-A’raf:160]

Dalam pada itu, Allah Ta’ala juga mengajar umat Islam mengenai adab yang perlu dipatuhi ketika makan. Antaranya ketika hendak makan, mulakan dengan nama Allah Ta’ala serta ucapkan:

“Bismillahirahmanirrahim”

Hal ini seperti yang disabdakan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:

“Apabila kamu makan, maka sebutlah nama Allah Ta’ala. Apabila lupa menyebut nama Allah Ta’ala pada awalnya, maka ucapkanlah. Bismillah awwaluhu wa akhirahu”

[HR. Abu Daud & Tirmizi]

Begitu juga apabila sudah makan, ungkaplah “Alhamdulillah” kerana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang makan, kemudian menyebut Alhamdulillahillazi at’amani haza warazaqanihi min ghairi haulin wala quwwatin (Segala puji bagi Allah yang telah memberi makanan ini & memberi rezeki pada saya dengan tiada daya & kekuatan daripadaku) maka diampuni dosanya yang telah lalu”

[Muttafaq Alaih]

♣ Bekerja Berjuang Di Jalan Allah Ta’ala


BEKERJA BERJUANG DI JALAN ALLAH TA’ALA

بسم الله الرحمن الرحيم

Kerja yang halal, walaupun sedikit ganjarannya, lebih berkat berbanding kerja yang tidak halal & beroleh ganjaran yang banyak. Apatah lagi jika kerja itu dilaksanakan dengan hati ikhlas demi menyara diri sendiri, kaum keluarga & menyumbang kepada umat Islam secara keseluruhan.

Pernah suatu ketika Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam duduk-duduk bersama para sahabat. Sahabat terpandang seorang lelaki gagah perkasa keluar dari rumah untuk bekerja. Sememangnya para sahabat selalu melihat lelaki itu keluar setiap pagi untuk bertugas. Sahabat mengeluh,

“Alangkah baiknya jika lelaki gagah perkasa begitu keluar untuk berjihad ke jalan Allah Ta’ala”

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam terus mencelah dengan bersabda:

“Jangan kamu berkata begitu. Ini kerana jika dia keluar mencari rezeki untuk anaknya yang masih kecil, maka dia telah berjuang ke jalan Allah Ta’ala. Jika dia keluar bekerja untuk menyara orang tuanya yang uzur, bermakna dia juga termasuk dalam golongan yang berjuang ke jalan Allah Ta’ala. Begitu juga kalau dia berkerja untuk menyara diri sendiri, dia juga tersenarai dalam orang yang berjuang ke jalan Allah Ta’ala. Sebaliknya, jika dia keluar berusaha kerana riak & hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain, dia ibarat berjuang ke jalan syaitan”

[HR. Tabrani]