♣ Kisah Anak Soleh & Ayah Fasiq


KISAH ANAK SOLEH & AYAH FASIQ

بسم الله الرحمن الرحيم

Seluruh kampung semacam tak percaya. Tapi itulah hakikatnya. Ramli, anak arwah Pak Hamid pulang dari luar negara sebagai seorang jurutera & hafiz. Semalam dia mengimamkan solat Terawih. Lunak & lancar bacaannya. Mereka yang tidak kenal asal-usul Ramli, kagum. Mereka yang mengenali lebih kagum.

Saya adalah antara generasi anak kampung yang masih mengingati Pak Hamid. Malam setelah pulang dari solat Terawih, saya berbual-bual dengan anak saya.

“Ayah nak kamu contohi imam muda tadi. Sudahlah hafiz, jurutera pula, hebat betul. Kalau kamu tahu sejarah hidup dia, kamu akan lebih kagum. Ayah tahu, dah tentu, kan ayah anak jati kampung ini”

Nostalgia kisah Pak Hamid terbayang kembali di ruang mata.

“Ayah nak cerita, sekadar mengambil iktibar. Bukan hendak memburuk-burukkan orang yang telah mati”

Perlahan saya memulakan cerita.

“Kenapa begitu sekali ayah? Pak Hamid terkenal di kampung ni sebagai orang yang buruk perangainya. Solat tidak. Puasa tidak. Menjengah ke surau langsung tak pernah. Berjudi, minum arak dah jadi kebiasaannya. Ramli tu terseksa sejak kecil lagi. Dibentak-bentak. Makan minum, pakaian & sekolahnya tak terurus langsung. Tapi macam mana dia boleh mencapai kedudukan seperti sekarang?”

“Itulah luar biasanya Ramli ni. Dalam serba kekurangan & cabaran tu dia gigih. Rajin belajar. Berdikari mencari rezeki”

“Ibunya macam mana?”

“Ibunya dah lama meninggal dunia. Kata orang itulah sebabnya Pak Hamid jadi begitu. Berubah sejak kematian isteri”

“Sedih juga. Kalau orang lain dah lama putus asa. Tapi Ramli tidak. Hasil keputusan cemerlang di sekolah rendah dia terus belajar ke asrama penuh & entah macam mana kaedah dia mampu meneruskan pencapaian akademik & hafaz Al-Quran sekaligus. Hebat”

“Baguslah, jika berpeluang kamu ikuti jejaknya. Kembali kepada kisah Pak Hamid, dia meninggal tak lama selepas Ramli melanjutkan pelajaran ke sekolah asrama penuh. Ayah masih ingat”

Saya sebak.

“Kenapa ayah?”

“Waktu Ramli pulang menjelang pengkebumian jenazah ayahnya, dia menangis. Sebatang kara. Orang kampung kata macam-macam tentang arwah ayahnya. Berdosa besar, jenazahnya berat, berat dosalah, macam-macam. Sedih ayah rasakan, Ramli yang masih muda tu terpaksa menanggung kecaman di hari kehilangan orang yang disayanginya. Mujurlah ada datuk kamu. Ayah masih ingat datuk kamu panggil Ramli untuk berjalan bersama dari tanah perkuburan. Ayah ada sekali. Apa kata datuk? Ramli, kalau benar sayangkan ayah kamu, jadi anak soleh. Doakan dia. Itu sahaja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di akhirat”

Anak saya diam. Terkesima agaknya. Matanya mula redup.

“Datuk kamu menyambung lagi. Untuk harumkan kembali nama ayah kamu di dunia, kamu belajar bersungguh-sungguh. Jadi orang berjaya dalam hidup. InsyaAllah, kecemerlangan kamu akan menjulang kembali nama ayah kamu yang dikata-katakan orang pada hari ini. Macam mana reaksi imam Ramli waktu tu? Dia hanya mengesat air mata dan mengangguk-angguk”

“Hebat betul ayah, sekarang semuanya jadi realiti”

“Memang hebat. Anak yang soleh & baik dari seorang ayah yang sedemikian. Kamu bagaimana?”

“Saya bertuah ada ayah!”

Saya terdiam. Terusik hati saya, adakah aku ayah yang baik?

“Kamu mesti terima kenyataan bahawa kita masih mampu menjadi anak yang soleh walaupun bapa kita bukan seorang yang soleh & tidak semestinya bapa soleh maka anaknya secara automatik jadi anak yang soleh”

“Kenapa ya?”

“Itulah bukti keadilan Allah Ta’ala. Dosa & pahala tidak boleh diwariskan. Setelah akil baligh setiap kita punya potensi sendiri, nak jadi baik atau sebaliknya”

“Jadi seorang ayah yang soleh tak boleh membentuk anak yang soleh?”

“Tak begitu. Didikan ibu bapa sangat memainkan peranan. Anak yang dididik secara baik,berpotensi menjadi anak yang soleh bila dewasa. Tetapi masih ada usaha yang dia sendiri perlu lakukan untuk meneruskan pentarbiyahan menjadi insan soleh. Jika dipatuhinya, alhamdulillah. Jika menyimpang, dia akan menerima akibatnya”

“Saya setuju dengan pandangan ayah. Ini bukti keadilan Allah Ta’ala. Jika tidak, setiap anak terpaksa menanggung akibat kesalahan ibu bapanya tanpa berpeluang untuk mengubah keadaan dirinya”

“Ya, itulah yang dibuat oleh imam Ramli. Demi cinta & kasih kepada ayahnya, dibela maruah ayahnya di dunia & akhirat. Tolong buat begitu jika ayah telah tiada”

Semacam wasiat pula kata-kata saya.

Pada pagi raya, selepas solat Aidilfitri, kami sama-sama menziarahi pusara di pinggiran kampung. Saya lihat imam Ramli duduk di tepi pusara ibu & ayahnya. Saya & anak duduk di tepi pusara insan yang paling kami sayangi. Ayah saya, datuk kepada anak saya. Lelaki yang pernah menasihati imam Ramli. Mudah-mudahan rohnya bersemadi di sisi orang soleh. Nasihatnya sangat memberi bekas. Saya yakin ayah ikhlas waktu itu. Saya masih ingat dialog ayah dengan imam Ramli belasan tahun yang lalu di kawasan perkuburan ini. Saya di sisi mereka. Saya melihat air mata ayah mengalir sewaktu meluahkan nasihat. Oh, mampukah saya seikhlas itu?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s