♣ Suara Hawa


SUARA HAWA

بسم الله الرحمن الرحيم

Adam;
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu;
Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu;
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok;
Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu;
Sentiasa mahu terpesong dari landasan
Kerana aku buruan syaitan..

Adam;
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu di akhir zaman;
Itulah sebenarnya ketelitian-Nya dalam urusan-Nya;
Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia;
Kacau-bilaulah suasana;
Adam sesama Adam bermusuhan kerana Hawa..

Adam;
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil & Qabil;
Sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya;
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang-Nya yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu..

Adam;
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku;
Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku;
Tapi, aku risau, gundah & gulana menyaksikan tingkahmu;
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu;
Namun, terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara..

Adam;
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita;
Kau diberi amanah untuk mendidik aku;
Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati & mengawasi aku agar sentiasa di dalam redha Rabbku & Rabbmu..

Tapi Adam;
Ternyata & rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini;
Aku & kaumku telah ramai menderhakaimu;
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan;
Asalnya Allah Ta`ala mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah;
Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku;
Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut;
Tapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya..

Adam;
Mengapa kau biarkan aku begini;
Aku jadi ibu;
Aku jadi guru;
Itu sudah tentu katamu;
Aku ibu & guru kepada anak-anakmu;
Tapi sekarang di waktu yang sama;
Aku ke muka menguruskan hal negara;
Aku ke hutan memikul senjata;
Padahal, kau duduk saja;
Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja;
Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba;
Kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara;
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?;
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?..

Adam;
Marahkah kau jika ku katakan andainya Hawa terpesong;
Maka Adam yang patut tanggung;
Kenapa? Mengapa begitu Adam?;
Ya, ramai orang berkata jika anak jahat ibu & bapa tak pandai didik;
Jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar..

Adam;
Kau selalu berkata;
Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini Adam;
Seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad Shalallahu `Alaihi Wasallam terhadap isteri-isterinya?;
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad Shalallahu `Alaihi Wasallam terhadap mereka?;
Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?..

Adam;
Kau sebenarnya imam & aku adalah makmummu;
Aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua;
Jika kau benar, maka benarlah aku;
Jika kau lalai, lalailah aku;
Kau punya kelebihan akal manakala aku punya kelebihan nafsu;
Akalmu sembilan, nafsumu satu;
Aku, akalku satu nafsuku beribu..

Dari itu Adam;
Pimpinlah tanganku;
Kerana aku sering lupa, lalai & alpa;
Sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu & kuncu-kuncunya;
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah-Nya;
Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Rabbmu agar menerangi hidupku;
Tiuplah roh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih-Nya..

Adam;
Andainya kau masih lalai & alpa dengan karenahmu sendiri;
Masih segan mengikut langkah para sahabat;
Masih gentar mencegah mungkar;
Maka kita tunggu & lihatlah;
Dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah;
Malulah engkau Adam;
Malulah engkau pada dirimu sendiri & pada Rabbmu yang engkau agungkan itu;
Bantulah aku menuju ke landasan yang benar;
Adam renungkan..

Leave a comment